Monday, October 11, 2010

Erti Cahaya Mata

Assalamualaikum...

Kebelakangan ini kita sering dikejutkan dengan berita yang begitu menyentuh hati dan perasaan.  Menyentuh naluri keibubapaan.  Kisah dan tragedi terbesar dalam zaman iaitu tiada lagi perasaan kasih dan sayang kepada zuriat manusia itu sendiri.  Naluri kasih sayang itu telah ditiupkan ke dalam hati dan naluri kita oleh Allah SWT.  Naluri kasih sayang sesama makhluk, naluri kasih sayang kepada ibu dan bapa, naluri kasih dan sayang kepada anak-anak dan kasih sayang yang tertinggi kepada Maha Pencipta, Allah yang telah menciptakan kita daripada tiada kepada ada.

Berita pembuangan bayi begitu menyentuh perasaan kita.  Saban hari ada sahaja berita bayi-bayi yang tidak berdosa, tidak kenal erti kasih sayang seorang ibu dan bapa, dibuang dan dibunuh tanpa kasihan belas oleh si pelaku yang pada aras fikiran yang waras seharusnya bertindak sebagai pelindung, pencurah kasih dan sayang, pendidik dan pencorak masa depan bayi-bayi yang tidak berdosa itu. 

Minta ampun kita kepada Allah SWT.  Mudah-mudahan ini bukan bala' yang diturunkan oleh Allah SWT kerana kelalaian kita kepada begitu banyak arahan dan suruhanNya.  Marilah kita kembali kepada segala ajaran yang disampaikan kepada kita melalui kekasihNya Nabi Muhammad SAW.  Mudah-mudahan musibah dan tragedi pembuangan bayi ini dapat kita hentikan.  Ingat!  Apabila manusia semakin lupa dan lalai, maka tunggulah akan bala' Allah SWT kepada kita.  Na'uzubillah.